Catatan ini adalah satu rumusan yang dibuat semasa sesi tazkirah yang telah di sampaikan oleh U. Hasanuddin Harun pada 23/11/2007.Tazkirah yang disampaikan ialah mengenai "KEMBALI KEPADA FITRAH".
Dalam kesibukan manusia seharian kadang-kadang manusia lupa siapakah penciptanya, dari manakah asalnya mereka dan kepada siapakah mereka kembali. Saban hari manusia dihimpit oleh masalah yang tidak tahu dari mana puncanya dan bagaimanakah cara menyelesaikannya. Tidak hairanlah ramai manusia yang tidak beriman kini mengambil jalan mudah untuk lari dari masalah iaitu dengan membunuh diri.
Kita hendaklah mengetahui bahawa manusia ini dicipta dari unsur-unsur yang sangat menakjubkan. Unsur-unsur itu ialah JASAD, ROH, AKAL, NAFSU, dan HATI.
JASAD - Allah s.w.t menciptakan nabi Adam dari semua jenis tanah dan ditiupkan roh kedalamnya manakala anak- anak Adam (termasuk kita) dibentuk di dalam rahim ibu. dan pembentukan manusia di dalam rahim akan berubah setiap 40 hari.
ROH - menurut Ibnu Qayim-salah seorang ulamak salaf- menyatakan bahawa jasad dan roh adalah sama bentuk. Roh digilap dengan cahaya Allah iaitu zikir
Roh dan jasad hanya melakukan kerja dan tidak boleh mebuat keputusan. Mereka akan mengalami 3 fenomena iaitu:
1. Mati - roh terpisah dari jasad dan tak dapat kembali lagi
2. Tidur - roh keluar dari jasad dan masuk kembali.
3. Koma, gila, sihir dan sebagainya- roh terkeluar dari jasad dan tidak dapat kembali kepada jasad. Akan mengalami 2 kemungkinan samada akan mati atau sedar kembali.
AKAL dan NAFSU adalah perunding di dalam diri manusia.
HATI - memberi arahan dan membuat keputusan. Musuh utama hati ialah bisikan syaitan yang bernama Al-Khannas iaitu syaitan yang berada di dalam hati dan ditugaskan hanya memberi bisikan buruk kepada manusia.
Hati boleh digilap dengan mengingati Allah dalam apa jua keadaan kerana orang yang ingin diselamatkan oleh Allah dari api neraka ialah orang yang membuat keputusan berlandaskan iman, bukan berlandaskan nafsu dan akal semata - mata. Golongan ini dinamakan sebagai "Ulul Albab" iaitu golongan yang membuat keputusan berlandaskan hati yang telah digilap oleh zikrullah. Setiap langkah mereka hanya kerana Allah, perbuatan dan percakapan mereka untuk Allah, hidup mati mereka hanya kerana Allah. Mereka melakukan semua ini kerana mereka tahu suatu hari nanti mereka akan hidup gembira bersama Allah. SUBHANALLAH
Daripada 5 unsur ini memang tidak dapat kita nafikan bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah s.w.t. oleh itu marilah kita bersyukur kepada Allah dan bertanyakan diri kita layakkah kita derhaka kepada Allah.
Ya Allah ya Tuhan Kami jadikanlah kami hamba yang bersyukur kepada-Mu, mengingati-Mu setiap masa dan beribadah hanya kerana-Mu. Amiin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan